Thursday, 30 June 2016

Fadilat lailatulqadar

Fadilat lailatulqadar

Banyak ayat al-Quran dan hadis menyebut keutamaan Lailatulqadar. Antaranya:

1. Malam lebih baik daripada seribu bulan. Firman ALLAH SWT, “Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan” (Surah Al-Qadr: 3).

Ulama tafsir mengatakan, dimaksudkan dengan lebih baik daripada seribu bulan adalah solat dan amalan pada Lailatulqadar adalah lebih baik daripada solat dan puasa selama 1,000 bulan yang tidak terdapat lailatulqadar. (Zaadul Masiir, 9/191)

2. Malam penuh keberkatan dan keselamatan. ALLAH berfirman: “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibrail. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: 4-5)

Malam itu adalah malam penuh keberkatan, kerana turunnya malaikat membawa rahmat dan berkata: "Malam yang sejahtera kerana banyaknya manusia terselamat daripada hukuman dan seksaan ALLAH kerana ketaatan yang mereka kerjakan pada malam tersebut."

3. Malam pengampunan dosa lalu.Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mendirikan solat pada Lailatulqadar, kerana iman dan mengharap pahala, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat Bukhari)

Mencari lailatul qadar


Diriwayatkan daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Carilah Lailatulqadar di sepuluh terakhir dari bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Rasulullah SAW turut memberi petunjuk yang lebih terperinci untuk kita mencari lailatulqadar sebagaimana di dalam sabda Baginda SAW: “Carilah malam Al-Qadar pada malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Maka carilah (Lailatulqadar) pada malam kesembilan, ketujuh, dan kelima (daripada sepuluh malam terakhir).” (Riwayat Bukhari)

Ubay bin Ka’b RA berkata: “Demi ALLAH, sungguh aku tahu malam mana malam itu (Lailatulqadar), ia adalah malam di mana Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menghidupkan malamnya, iaitu malam ke-27.” (Riwayat Muslim)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Atsqalani rahimahullah merumus daripada keseluruhan hadis berkaitan Lailatulqadar ini dengan mengatakan ALLAH lebih mengetahui bilakah malam tersebut.

Nabi Muhammad SAW sekadar memberi tanda-tandanya maka kita dituntut mencari dan menghidupkan malam-malam tersebut.

Tanda lailatul qadar

Rasulullah SAW tidak menetapkan malam itu pada malam ke-27, 29, atau 25. Namun ia adalah ujian kepada orang yang bertakwa. Orang yang beribadah dan menghidupkan malam secara rutin adalah lebih mudah mendapatkan kemuliaan malam ini.

Adapun orang yang tidak pernah menghidupkan malam dengan ibadah dan hanya menunggu untuk beribadat pada lailatulqadar, dia tidak mungkin berhasil mendapatkan malam tersebut. Pencarian lailatul qadar perlu dilakukan secara konsisten sejak awal lagi.

Tanda-tanda Lailatulqadar yang popular dalam adat dan kepercayaan masyarakat Melayu seperti pokok bersujud dan sebagainya, ia hanya dongengan dan tidak wujud dalam ajaran agama. Perihal tanda-tanda Lailatulqadar, kita hanya mengambilnya daripada hadis Nabi Muhammad SAW, antaranya:

1. Malam yang cerah, tidak panas dan tidak sejuk.

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya aku diperlihatkan Lailatulqadar kemudian dilupakan dariku dan ia ada di sepuluh terakhir (dari Ramadan) dan ia adalah malam yang baik dan cerah, tidak panas dan tidak sejuk, seakan-akan di dalamnya ada bulan purnama yang menerangi bintang-bintang, syaitan-syaitan tidak keluar sampai terbit fajar.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah, dinilai sahih oleh al-Albani dalam koreksi beliau terhadap Sahih Ibnu Khuzaimah)

2. Pada pagi harinya, matahari terbit tidak memancarkan cahaya yang terik. Rasulullah SAW bersabda: “Matahari terbit pada harinya tidak mempunyai sinar.” (Riwayat Muslim)

Bagaimanapun, perkara ini semua tidak boleh ditunggu baru hendak beramal, ia tidak akan menjadi. Mencari tanda-tanda ini bukanlah keutamaan.
Ia hanyalah tanda yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai pemberi semangat untuk kita mendekatkan diri dengan ALLAH. Apa yang penting adalah kita disuruh menghidupkan malam-malam sepanjang Ramadan.

Amalan Nabi SAW

1. Solat malam dan membangunkan keluarga untuk solat

Disebut dalam hadis Nabi SAW dari ‘Aisyah RA: “Nabi SAW apabila memasuki sepuluh akhir (dari bulan Ramadan), Baginda mengetatkan kainnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Mengetatkan kain adalah kiasan bagi berjimak dan mukadimah jimak. Ini kerana perkataan-perkataan Nabi Muhammad SAW diriwayatkan dengan bahasa yang sopan.

2. Memperbanyakkan doa

Antara doa yang sabit dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang banyak Baginda SAW ucapkan pada bulan Ramadan.
Baginda SAW turut mengajarkannya kepada isteri Baginda SAW, Aisyah RA adalah: “Allahumma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa fa’fu’annii (Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau bersifat Pengampun, Engkau suka kepada pengampunan maka ampunilah aku.) (Riwayat Tirmizi, sahih)

3. Membaca al-Quran

Membaca al-Quran adalah menguntungkan. Satu huruf yang dibaca diganjari sepuluh kebaikan (pahala).

Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa membaca satu huruf dari kitab ALLAH, dia mendapat satu kebaikan dengan huruf itu, dan satu kebaikan dilipatgandakan menjadi sepuluh. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat Al-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberikan syafaat bagi pembacanya.” (Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad SAW membaca dan mengkhatamkan al-Quran bersama dengan Jibrail pada setiap Ramadan. Ini yang difahami daripada makna tadarus. Kaedah tadarus berkehendak kepada sekurang-kurangnya dua orang; seorang membaca dan yang lain mendengar dan membetulkan kesalahan, bukan dengan membaca beramai-ramai.

Dengan tadarus Nabi Muhammad SAW mengambil pelajaran dan belajar tentang al-Quran, itulah erti dan tujuan di sebalik amalan bertadarus.

Baca al-Quran ketika berdiri  dalam solat memiliki keutamaan yang tersendiri.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa solat membaca sepuluh ayat maka dia tidak ditulis termasuk orang lalai. Siapa yang solat membaca seratus ayat ditulis termasuk  orang yang patuh dan siapa yang membaca seribu ayat maka ditulis sebagai orang yang mendapatkan pahala sangat besar sekali." (Riwayat Abu Dawud, dinilai hasan oleh al-Albani)

No comments:

Post a Comment